Saturday, December 15, 2012


Analisis Perbandingan Teori
           
            Psikolinguistik seperti istilahnya merangkumi ilmu psikologi dan linguistik atau bahasa. Terdapat ramai tokoh pengkaji yang telah menampilkan berbagai teori dan hasil kajian yang mengagumkan. Antaranya ialah Noam Chomsky (1959), Skinner, Greenberg (1963) dan sebgainya merupakan antara nama yang disebut-sebut sebagai pelopor kajian psikolinguistik ini. Setiap pengkaji cuba melahirkan pandangan mereka berdasarkan kajian sama ada melalui kajian terhadap binatang dan pemerhatian terhadap tingkah laku manusia sendiri. Kajian yang dilakukan pasti menarik kerana mereka mencari sesuatu punca atau cuba mendapatkan kepastian akan asal usul pemerolehan bahasa dalam kalangan manusia juga mencari bagaimana bahasa itu diperolehi. Dalam kajian mereka timbul permasalahan sama ada manusia memperolehi bahasa secara sendiri atau ada faktor lain yang menyebabkan berlakunya proses pemerolehan bahasa itu.

            Melalui perbandingan teori yang boleh diperolehi dimana-mana, memang terdapat perbezaan ketara teori psikolinguistik yang cuba disampaikan. Teori Kognitif menekankan aspek fungsi kognisi dan landasan biologi manusia dalam pemerolehan bahasa (Abdullah Hassan, 2007 : halaman 5). Chomsky menentang teori ini dengan mengatakan bahawa teori ini disampaikan oleh sarjana psikologi kognitif tanpa melihat proses linguistik yang berlaku dalam proses pemerolehan bahasa itu sendiri. Alasan Chomsky ialah pertumbuhan bahasa seorang manusia berkait secara genetik dengan pertumbuhan biologinya (Abdullah Hassan, 2007 halaman 5). Maka teori kognitif mungkin tidak dapat menjelaskan bagaimana proses linguiistik atau pemerolehan bahasa yang diperolehi kanak-kanak dan kemampuan kanak-kanak memperolehi bahasa secara semulajadi melalui interaksi dengan persekitaran kanak-kanak tersebut.

            Bagi teori behaviorisme pula, para sarjana penemu teori ini berpandangan bahawa pemerolehan bahasa kanak-kanak banyak dipengaruhi tindakan ulangan sesuatu lakuan mereka. Kemahiran bertutur sama seperti kemahiran lain yang mana kanak-kanak akan melakukan proses berulang kali bagi memperolehi kemahiran tersebut. Teori kelakuan ini mungkin diamati sarjana pengkaji nya dan membuat satu analisis bagaimana lakuan kanak-kanak dalam proses sosialisasi mereka yang mana lakuan mereka sendiri akan menjadi faktor mereka akan memperolehi bahasa mereka. Pendapat ini juga ditentang oleh Chomsky yang menyebut “mengapa kanak-kanak di mana pun juga, memperoleh bahasa mereka dengan menggunakan strategi yang sama (Abdullah Hassan, 2007 : halaman 3). Kajian yang dilakukan menunjukkan bahawa manusia dicipta dengan memiliki otak yang berbeza daripada primat lain, baik dalam struktur mahupun fungsinya. Dari segi biologi manusia berbeza dengan binatang. Pendapat teori behaviorisme ini melihat binatang sebgaai asas kajian dan pendapat mereka gagal menjelaskan persoalan yang dibangkitan oleh Chomsky.

            Chomsky menjelaskan bahawa setiap individu dilahirkan sudah mempunyai kecekapan bahasa, mempunyai Langguage Acquisition Device dan sifat akal. Perkembangan kanak-kanak yang berlaku bukan sahaja kerana tindak balas tetapi mereka melalui proses perkembangan kognitif mereka. Manusia juga dilahirkan didunia sudah ada kecekapan berbahasa apabila sampai waktunya. Potensi ini kerana sifat akal, iaitu bersifat semula jadi.

            Penjelasan dan perbandingan yang boleh dibuat daripada teori psikolingguistik yang ada ialah, manusia itu sendiri dianugerahi akal yang membolehkan mereka memperolehi bahasa melalui beberapa proses dalam perkembangan hidup mereka. Pendapat Chomsky banyak mempengaruhi proses pemantapan ilmu psikolinguistik ini kerana Chomsky lebih yakin kepada perkembangan bahasa manusia itu terancang secara genetik. Pertumbuhan bahasa kanak-kanak tidak ada bezanya dengan pertumbuhan payu dara atau misai pada manusia. Manusia dilahirkan dibekalkan dengan fakulti minda yang salah satu bahagian khususnya dicipta untuk perolehan bahasa (Abdullah Hassan, 2007 : halaman 4).  

No comments:

Post a Comment