Wednesday, December 12, 2012

MASALAH DALAM PENDIDIKAN BAHASA MELAYU DAN KESANNYA KEPADA MASYARAKAT MALAYSIA



         Ketakseimbangan dalam penguasaan pengetahuan bahasa Melayu menyebabkan wujudnya pelbagai kesan buruk kepada kehidupan bermasyarakat di Malaysia. Bahasa Melayu tidak dapat berfungsi sebagai Bahasa Kebangsaan yang berkesan dalam pelbagai bidang kehidupan seperti dalam bidang pendidikan, kehakiman, perundangan dan sebagainya. Apa yang sering berlaku, kelemahan perancang, pelaksana dan pengguna bahasa seringkali diselindungkan, dan terus dituduh sebagai kelemahan bahasa Melayu.

            Bahasa Melayu diremehkan apabila dituding sebagai tidak dapat berfungsi untuk bidang ilmu tinggi atau sebagai bahasa pengantar pendidikan peringkat universiti khususnya dalam bidang sains dan matematik, dan harus digantikan dengan bahasa Inggeris. Kemuncak daripada fenomena ini adalah kewujudan dasar PPSMI, iaitu pendidikan sains dan matematik dalam bahasa Inggeris. Akibatnya, bahasa Melayu akan terus dipinggirkan. Bahasa Melayu dipersepsikan hanya sebagai bahasa pasar atau bahasa basahan untuk komunikasi tidak formal, dan bahasa untuk urusan-urusan kurang rasmi. Walau bagaimanapun, kita bersyukur kerana kita telah menyedari kesilapan ini dan kita dalam proses untuk membetulkannya semula.

            Di samping fungsinya sebagai bahasa pengantar pendidikan dan bahasa untuk bidang pentadbiran telah terjejas, fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa penyatuan untuk seluruh rakyat Malaysia juga turut terjejas. Apabila bahasa Melayu tidak dapat berfungsi sebagai alat komunikasi antara etnik dengan berkesan, hubungan antara kaum menjadi agak hambar dan ikatan muhibah menjadi kurang kukuh. Untuk dapat berfungsi dengan berkesan sebagai alat komunikasi, bahasa Melayu perlu dikuasai oleh semua kaum di Malaysia dengan menyeluruh dan secara utuh. Keadaan ini akan menghilangkan rasa kekok semasa berbahasa, dan mengikis rasa kesangsian antara pelbagai kaum, dan seterusnya usaha kita untuk menjayakan gagasan satu Malaysia dapat direalisasikan. Perdana Menteri Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak telah menegaskan tentang betapa perlunya kesatuan pemikiran semasa menghuraikan konsep satu Malaysia dengan berkata, “Konsep satu Malaysia ini bererti bahawa kita berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia” (Bernama 2009).

            Jika sekiranya kita mahu seluruh masyarakat Malaysia menguasai pengetahuan bahasa Melayu secara utuh dan berpada, kita harus mengadakan perubahan sejak di tahap yang paling awal lagi, iaitu sejak di tahap perancangan lagi. Ini disebabkan perancanganlah yang akan menentukan bentuk dan cara pelaksanaan. Dengan demikian, Kementerian Pelajaranlah yang akan menentukan corak atau bentuk pengajaran dan pembelajaran bahasa yang bakal dilaksanakan di sekolah-sekolah, sama ada di peringkat rendah atau menengah.

            Penggunaan nama „bahasa Malaysia‟ tidak akan menjadikan semua rakyat Malaysia sebagai penutur jati bahasa ini. Ini membawa maksud, perbezaan status di antara penutur yang berlainan etnik harus diiktiraf oleh para perancang program pendidikan bahasa Melayu, dan seterusnya dalam pengajaran di bilik-bilik darjah keadaan ini harus disedari oleh para guru bahasa Melayu. Jika sekiranya pendidikan bahasa Melayu dirancangkan dan dilaksanakan hanya sebagai pendidikan bahasa pertama, ia pasti akan merugikan para pelajar bukan Melayu. Sebaliknya, jika sekiranya pendidikan bahasa Melayu dirancangkan dan dilaksanakan hanya sebagai pendidikan bahasa kedua, ia akan merugikan para pelajar Melayu. Dengan demikian, para perancang program pendidikan bahasa Melayu harus merancang dengan teliti agar program pendidikan bahasa Melayu akan memberikan manfaat maksimum kepada kedua-dua golongan pelajar, iaitu pelajar Melayu dan bukan Melayu.

            Pendidikan bahasa Melayu harus disasarkan kepada proses memperkukuhkan dan memperkayakan lagi pengetahuan bahasa Melayu para pelajar Melayu, dan juga ke arah membentuk dan memperkukuh tabiat berbahasa Melayu sebagai bahasa kedua di kalangan para pelajar bukan Melayu. Program pendidikan bahasa Melayu seharusnya dirancang agar kedua-dua kelompok pelajar mendapat manfaat yang maksimum daripada program pendidikan bahasa Melayu yang mereka ikuti. 


PERANAN TEORI PSIKOLINGUISTIK DALAM PEMURNIAN DAN PEMERKASAAN
PENDIDIKAN BAHASA MELAYU DI MALAYSIA
(The role of psycholinguistic theory in refining and strengthening of the Malay language
education in Malaysia)
Zulkifli Hamid

No comments:

Post a Comment